Wednesday, 17 April 2013

Perbadanan Pengurusan (MC) Dan Peranannya


MC tertubuh secara automatik apabila buku daftar strata dibuka. Dengan itu ia tidak lagi perlu didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia. MC juga ialah pemilik harta bersama dan sebagai penjaga (custodian) dokumen hak milik keluaran bagi tanah di mana bangunan terdiri.

Semua pemilik petak ialah ahli kepada MC dan selepas pindah milik petak disempurnakan, mereka mempunyai hak untuk mengundi di Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa MC.

Untuk melicinkan pengurusan, MC dikehendaki melantik sebuah majlis untuk menjalankan tugas-tugasnya dan bertindak bagi pihaknya. Majlis ini dilantik melalui Mesyuarat Agung Tahunan pertama MC. Bilangan minimum ahli majlis ialah tiga (3) orang dan tidak lebih daripada 14 orang dan mereka dilantik di dalam Mesyuarat Agung.


Tanggungjawab MC

MC melalui majlisnya berkewajipan melaksanakan semua tanggungjawab yang ditetapkan dalam undang-undang berkenaan, iaitu Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318]. Antara tanggungjawab utama  MC ialah seperti berikut:

1.   Mengurus dan menyenggara dengan sempurna harta bersama

2.   Menubuhkan dan menyenggara satu kumpulan wang pengurusan bagi tujuan menampung apa-apa perbelanjaan 
      pentadbiran  

3.   Menginsurankan bangunan dari aspek struktur bangunan dan harta bersama terhadap kebakaran dan apa-apa risiko lain

4.   Mematuhi apa-apa notis atau arahan pihak berkuasa berhubung dengan harta bersama

5.   Menyedia dan menyenggara suatu daftar senarai (strata roll) yang mengandungi butiran mengenai lot, hak milik, 
      bangunan, pemilik asal, MC, petak, pemilik petak dan urus niaga.   



Kuasa MC

Bagi melaksanakan tanggungjawab di atas, MC diberi beberapa kuasa berikut:

1.   Mengenakan caruman ke atas pemilik petak mengikut kadar yang ditetapkan mengikut unit syer petak masing-masing;

2.   Membeli, menyewa atau memperoleh harta alih untuk kegunaan berhubung dengan  harta bersama;

3.   Meminjam wang yang diperlukan dalam menjalankan kuasa-kuasanya atau melaksanakan tugas-tugasnya dan membayar 
      balik pinjaman serta faedah yang dikenakan;

4.   Mengambil tindakan ke atas pemilik petak sekiranya pemilik petak gagal mematuhi arahan dalam tempoh tertentu;

5.   Mendapatkan kembali daripada mana-mana pemilik petak apa-apa jumlah wang yang dibelanjakan oleh MC berkenaan 
      dengan pemilik petak itu yang gagal mematuhi apa-apa notis atau perintah pihak berkuasa; serta

 6.  Membuat segala perkara yang munasabah bagi melaksanakan tugas-tugasnya dan menguatkuasakan undang-undang 
       kecil.


Pengenalan

Selamat datang ke blog Dahlia Court Management Corporation.
 
Tujuan utama blog komuniti ini diwujudkan adalah untuk menyalurkan maklumat dan berkongsi informasi berkaitan dengan aktiviti-aktiviti berkaitan Pangsapuri Dahlia Court, di samping merapatkan hubungan kejiranan dengan semua penduduk/pemilik.
 
Semoga dengan wujudnya blog ini, penduduk dapat berkongsi idea dan cadangan bagi menjadikan Dahlia Court ini sebuah pangsapuri yang selesa dan selamat untuk didiami.

Sekian. Terima kasih.